Friday, December 30, 2011

*Jangan Serik Untuk Terus Menjadi Cantik*


" Awak tak cantik ”
” Awak tak ada rupa..”

” Saya kurang berkenan..”

” Gelap..tak putih “

Bukan mudah untuk seorang wanita menerima hakikat dirinya ditolak semata-mata atas faktor rupa parasnya sahaja. Apatah lagi jika sebelumnya, dia telah bersungguh-sungguh mempersiapkan diri supaya kelihatan cantik dan anggun.Lelaki pula, kebiasaannya menggunapakai kaedah ‘ mata adalah hakim pertama ‘. Tidak berkenan di mata, maka tidak adalah peluang meneruskan langkah seterusnya.Menjadi wanita, soal cantik atau tidak adalah soal yang besar. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan ia antara dilema yang seringkali menghantui minda wanita dalam fasa menanti jodoh.

KENALI FITRAH

Secara semulajadi, wanita mempunyai keinginan yang kuat untuk kelihatan cantik dan dipuji pula akan kecantikan tersebut. Sebab itu, wanita suka melawa. Mereka mempunyai set alat solek dan mereka memerlukan masa yang agak lama untuk berhias. Ini perkara normal yang memang Allah ciptakan khusus kepada wanita.Apabila sifat semulajadi itu cuba ‘dirampas’ oleh lelaki, maka dunia akan serta merta menjadi songsang.Namun begitu, sebagai wanita, anda sewajarnya mengenali fitrah dalam diri anda sebaik mungkin supaya fitrah tersebut tidak menjadi fitnah.

Fitrah dalam diri seorang wanita – secara hakikatnya – adalah supaya dirinya kelihatan cantik dan dipuji oleh seorang lelaki yang merupakan satu-satunya insan terpenting dalam hidupnya iaitu suami .Fitnah pada mereka pula adalah, apabila sejak dari awal berusaha supaya menjadi cantik dan disanjung-sanjung oleh semua orang, termasuklah lelaki-lelaki yang mempunyai penyakit di dalam hati .Mengenali fitrah anda dengan baik, akan menjadikan anda seorang wanita yang bijak. Anda tidak akan sewenang-wenangnya menjadikan ‘fitrah’ melawa, berhias dan kelihatan anggun itu untuk menonjolkan kecantikan anda sebagai santapan mata lelaki yang bukan mahram.

ANDA CANTIK

Berbalik kepada isu ditolak kerana ‘tidak cantik’, perkara pertama yang perlu anda jawab kepada diri sendiri adalah anda sebenarnya cantik .Lelaki itu, atau sesiapa sahaja yang mengatakan anda tidak cantik, sebenarnya langsung tidak ada hak untuk mengatakan demikian. Ya, mungkin atas prinsip ‘demokrasi’ mereka boleh katakan demikian, tetapi itu bukan bermakna apa yang mereka katakan itu suatu hakikat yang perlu diimani. Tidak sama sekali. Memahami itu, maka untuk apa pula anda bersedih sekiranya dikatakan demikian, ataupun ditolak oleh mereka atas alasan demikian? Hakikatnya, anda langsung tidak perlu bersedih kerana itu petanda yang sangat jelas, bahawa anda sedang berada di atas landasan yang betul. Kerana apa?Telah saya sebutkan di atas, bahawa fitrah dalam diri anda sebenarnya adalah untuk menjadi cantik dan dipuji sebagai cantik oleh suami. Maknanya, apabila suami telah mengakui bahawa anda cantik dan memuji pula kecantikan anda, itu sudah lebih dari memadai buat anda sebagai isteri. Pada waktu itu, anda langsung tidak akan kisah kiranya sekalian alam mengatakan anda tidak cantik.

SECANTIK BIDADARI

Sebagai wanita, anda memang cantik. Secantik bidadari. Bidadari yang hanya layak dipuji dan disunting oleh putera kayangan. Dalam dunia ini, hanya putera kayangan itu sahaja yang diberi peluang oleh Allah untuk melihat kecantikan anda.

Hari ini, anda ditolak dan tidak diterima. Bermakna, mereka-mereka itu bukan putera kayangan yang ditakdirkan untuk bidadari secantik anda. Suatu ketika nanti, akan datang seorang putera kayangan kepada anda. Dan dia tidak akan teragak-agak untuk memuji anda sebagai wanita yang paling cantik. Tidakkah pujian yang keluar dari mulutnya waktu itu suatu kalimah yang cukup untuk membawa anda terbang tinggi di awangan? Waktu itu, masihkah bersisa saki baki kesedihan waktu anda ditolak hari ini? Sudah tentu tidak. Bahkan kesemua perkara itu tidak lagi penting bagi anda. Yang penting, anda adalah bidadari paling cantik untuk seorang suami.

JANGAN SERIK

Justeru, janganlah serik untuk terus menjadi cantik. Caranya pula, bukan sekadar membeli dan berlatih dengan pelbagai alatan solek. Cara paling ampuh adalah dengan memakaikan make-up termahal untuk hati nurani anda. Dari situ, kecantikannya akan tembus ke luar.

Pernah tak anda berjumpa dengan wanita yang berkulit agak gelap dan tidak mempunyai rupa paras yang cantik? Tetapi anda sangat menyenangi wanita tersebut. Apabila anda bercakap, dia akan mendengar dengan tenang. Apabila dia memberi pandangan, tutur katanya sungguh sopan. Apabila dia berjalan, pandangannya fokus dan tidak melilau-lilau. Apabila berpakaian, dia kelihatan sungguh selesa dan terjaga.

Jika anda berjumpa dengan wanita seperti itu, rapatilah dia dan tanyakan kepadanya, apa rahsia dirinya menjadi cantik sebegitu rupa. Mungkin, anda akan beroleh pencerahan dan panduan mencantikkan jiwa.

Jika mereka yang tidak dikurniakan rupa paras yang cantik pun mampu menonjolkan kecantikan sebegitu rupa, mengapa tidak anda juga menempa kejayaan yang sama? Mulai sekarang, teruskanlah berusaha.

Ingat, bukan mudah untuk menjadi bidadari. Jadi, jangan serik berusaha untuk terus menjadi cantik.

Sekian.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.